In: Umum
26 Nov 2009 
1. Semua Muslim yang mendatangi Baitullah al-Haram sama ada kerana melakukan haji atau umrah atau solat sahaja memperoleh keberuntungan yang besar. Allah Taala menyambut kedatangan hambaNya dengan penuh limpahan kelebihan sepertimana hasrat yang disebut ketika memerintahkan pembinaan rumahNya itu.
Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumah-Ku (Ka’bah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”. (Surah al-Baqarah: Ayat 125)
Dan ketika Kami tentukan bagi Ibrahim tempatnya di Kaabah lalu Kami berfirman kepadanya: Janganlah engkau sekutukan dengan-Ku, sesuatu pun dan bersihkanlah rumah-Ku bagi orang yang bertawaf, dan orang yang berdiri dan orang yang rukuk serta sujud. (Surah al-Hajj: Ayat 26)
2. Wukuf di padang Arafah pula hanya tertentu kepada jemaah haji sahaja. Rasulullah SAW bersabda: الحج عرفة yang bermaksud, “haji itu adalah wukuf di Arafah.” Wukuf di Arafah menjadi rukun utama dalam ibadah haji selepas daripada niat. Barang siapa yang tidak sempat wukuf walau sekejap di Arafah di antara tergelincirnya matahari hari ini, 9 Dzulhijjah atau selewat-lewatnya sebelum terbit matahari esok, 10 Dzulhijjah, maka tiadalah haji baginya walaupun dia telah menjatuhkan niat haji dan menjaga segala perkara yang dilarang sejak beberapa minggu lalu lagi (jika haji ifrad). Kerana itu, jemaah yang sakit tetap dibawa dengan ambulan melalui padang Arafah pada waktu ini sebelum di bawa semula ke hospital.
3. Jemaah haji beroleh keluasan pintu keampunan daripada Allah sepanjang wukuf di Arafah. Mereka perlu mengisinya dengan memperbanyakkan taubat, istighfar dan segala amalan kebaikan lain dalam ruang yang terhad sebelum daripada ke Muzdalifah pada malam ini.
4. Kurnia yang sama juga terbuka kepada umat Islam yang tidak menunaikan haji. Di antara adab-adab yang dianjurkan pada hari Arafah, 9 Dzulhijjah ini ialah:
(1) Berpuasa padanya. Rasulullah SAW ditanya tentang puasa Arafah, jawab Baginda SAW:
يكفر السنة التي قبله والتي بعده
“Ia menghapuskan dosa tahun sebelumnya dan tahun selepas daripadanya.” (HR Muslim)
(2) Menjaga diri daripada perkara-perkara larangan Allah. Nabi SAW bersabda:
يوم عرفة، هذا يوم من ملك فيه سمعه وبصره ولسانه غفر له
“Hari Arafah itu, suatu hari yang sesiapa menjaga pendengarannya, penglihatannay dan lidahnya (daripada haram), maka diampunkan baginya.” (HR Ahmad)
(3) Memperbanyakkan syahadah al-Tauhid dengan benar dan ikhlas. Imam Ahmad meriwayatkan bahawa doa yang paling banyak diungkapkan oleh Rasulullah SAW pada hari Arafah ialah:
(4) Memperbanyakkan memohon pengampunan dan pelepasan daripada api neraka dan jauhilah melazimkan diri daripada dosa yang menjadi sebab terhalangnya pengampunan Allah. Saidina Ali bin Abi Talib RA pada hari Arafah banyak mengungkapkan doa:
اللهم اعتق رقبتي من النار، وأوسع لي من الرزق الحلال واصرف عني فسقة الإنس والجان
“Ya Allah, bebaskan diriku daripada api neraka, dan luaskanlah bakiku rezeki yang halal dan hindarkanlah dariku kejahatan jin dan manusia.”
Semoga dapat jadi panduan…
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan.."
(Al-Maidah 5:2)